ADNSELANGOR

DUN Kota Anggerik anjur saringan kesihatan percuma Sabtu ini

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 25 JAN: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik mempelawa penduduk berusia 40 tahun ke atas menyertai program saringan kesihatan Skim Peduli Kesihatan untuk B40 (PeKa B40) secara percuma di Dewan Jenjarum, Seksyen 11, Sabtu ini.

Wakil rakyatnya memaklumkan karnival kesihatan itu menyediakan pelbagai aktiviti termasuk Program Saringan Kesihatan (HSP) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta pemeriksaan mata percuma.

“Program ini bertujuan melakukan pengesanan awal penyakit seperti jantung, darah tinggi, kencing manis, kanser payudara (mamogram), rabun jauh dan dekat serta banyak lagi.

“Selain itu, potongan harga cermin mata akan diberikan. Saringan kesihatan ini adalah percuma bagi yang layak,” kata Najwan Halimi menerusi Facebook.

Selain itu, turut diadakan pemberian kupon mammogram, pemeriksaan HPV DNA serta baucar Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Program dengan kerjasama pelbagai agensi serta kedai cermin mata itu bermula dari 10 pagi hingga 4 petang.


Pengarang :