Kakitangan Luas memeriksa kesan serta bau seakan diesel yang dikesan di Sungai Gong, Rawang ketika pemantauan pada 25 Januari 2024. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Luas aktifkan kod kuning siasat bau seakan diesel di Sungai Gong

SHAH ALAM, 25 JAN: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengaktifkan kod kuning di Sungai Gong, Rawang berikutan penemuan kesan dan bau seakan diesel di sungai terbabit hari ini.

Dalam kenyataan di Facebook, agensi itu memaklumkan tindakan mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk siasatan menyeluruh serta pencegahan atau mitigasi segera.

Menurut syarikat itu, pencegahan awal segera dibuat dengan meletakkan perangkap minyak (oil boom) di aliran sungai berkenaan bagi mengumpulkan kesan minyak tersebut.

“Luas juga meningkatkan kekerapan pemantauan di lokasi kepada setiap 30 minit sebagai langkah pemerhatian rapi,” jelas agensi berkenaan.

Syarikat itu menambah langkah mitigasi siap untuk dilaksanakan merangkumi pengepaman air mentah dan pembukaan pintu baraj bagi mempercepat aliran tercemar melepasi muka sauk.

Jelasnya, jarak antara lokasi penemuan bau ke loji rawatan air (LRA) terhampir iaitu LRA Rantau Panjang adalah 16.15km dan keadaan terkawal serta tiada permasalahan setakat ini.

“Luas sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kesan minyak tersebut dan tindakan pembersihan segera di lokasi,” kata agensi itu.


Pengarang :