AGENDANASIONAL

Guru Kafa ditahan pukul ibu angkat kerana minta belanja dapur

SHAH ALAM, 25 JAN: Hanya kerana meminta duit belanja dapur, seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) sanggup memukul ibu angkatnya hingga cedera di kepala dan perut.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 12 tengah hari di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Sungai Sering Ukay Indah, Ampang pada 19 Januari lalu, lapor Berita Harian.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, mangsa yang berusia 76 tahun menjaga anak angkatnya yang kini berumur 28 tahun sejak lahir.

Ketika kejadian, jelasnya, mangsa dikatakan meminta wang belanja dapur, namun lelaki itu berang dan memukulnya hingga mengalami kesakitan pada kepala, leher dan pinggang.

“Hasil pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Ampang, mangsa disahkan mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian kepala dan perut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan aduan mangsa, Mohd Azam berkata polis menahan seorang lelaki di pekarangan ibu pejabat polis daerah Ampang Jaya kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam untuk membantu siasatan.

“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau kesalahan jenayah, manakala ujian saringan air kencing negatif dadah. Suspek direman empat hari bermula hari ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.


Pengarang :