AGENDAJENAYAH

Lori dikejar polis hampir 100 kilometer, seorang ditahan, dua larikan diri

DUNGUN, 25 JAN: Seorang lelaki ditahan manakala dua lagi rakannya melarikan diri selepas lori dinaiki mereka dikejar polis sejauh hampir 100 kilometer (km) di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Maizura Abdul Kadir berkata ketiga-tiga suspek yang menaiki lori Isuzu dikesan dalam keadaan mencurigakan di Kampung Santong, Paka pada jam 4 pagi tadi.

Beliau berkata pemandu lori diarahkan berhenti untuk tujuan pemeriksaan, bagaimanapun dia bertindak memecut laju memasuki Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan merempuh penghadang Plaza Tol Paka.

“Mereka kemudian melarikan diri ke arah Kuala Terengganu dan keluar di Plaza Tol Ajil sebelum berpatah balik ke Dungun, melalui jalan Jerangau-Jabor.

“Suspek juga bertindak merempuh satu lagi penghadang tol ketika keluar dari LPT2 dan sebuah sekatan jalan raya di kawasan Jerangau, sebelum melalui jalan Tok Kah dan keluar di simpang Kampung Pulau Serai menuju bandar Dungun,” katanya di sini hari ini.

Maizura berkata lori tersebut kemudian berhenti berhampiran Jambatan Nibong, sebelum pemandu dan kelindannya yang masing-masing berusia lingkungan 30-an bertindak melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, seorang lagi suspek lelaki berusia 35 tahun yang berasal dari Kuantan, Pahang gagal meloloskan sebelum ditahan polis pada jam 6.55 pagi tadi.

“Hasil pemeriksaan di belakang lori mendapati terdapat kabel syarikat Telekom Malaysia (TM) sepanjang 44.2 meter dipercayai dicuri suspek.

“Polis ketika ini sedang mengesan dua suspek yang masih bebas dan suspek yang ditahan memiliki sembilan rekod lampau berkaitan dadah dan kita akan jalankan ujian urin ke atasnya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :