Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi beramah mesra bersama peserta ketika meninjau program Saringan Kesihatan Peka B40 Percuma DUN Kota Anggerik di Dewan Jenjarum MBSA Seksyen 11, Shah Alam pada 27 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Kota Anggerik sedia RM70,000 bantu rakyat dapat saringan kesihatan percuma

SHAH ALAM, 27 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik memperuntuk RM70,000 bagi membantu penduduk mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma menerusi tiga penganjuran karnival kesihatan tahun ini.

Wakil rakyatnya berkata karnival pertama yang berlangsung hari ini di Dewan Jenjarum, Seksyen 11 di sini, dijangka memanfaatkan hingga 15,000 individu termasuk penduduk berusia 40 tahun ke atas yang menjalani ujian kesihatan asas.

Mohd Najwan Halimi menjelaskan ujian mamogram dan saringan barah pangkal rahim turut ditawarkan kepada wanita berusia 30 tahun ke atas selain pemeriksaan mata secara percuma dan peluang membuat cermin mata murah.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi bercakap kepada Media Selangor ketika program Saringan Kesihatan Peka B40 Percuma DUN Kota Anggerik di Dewan Jenjarum MBSA Seksyen 11, Shah Alam pada 27 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kami berhasrat meneruskan karnival ini di kawasan Bukit Subang dan Denai Alam selepas ini berdasarkan lokaliti dan demografi penduduk selain ramai B40 di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mohd Najwan berkata pihaknya turut mempergiat hebahan program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) kepada penduduk di karnival berkenaan selain menerangkan mengenai insiatif kerajaan persekutuan berkenaan sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

Peserta membuat pemeriksaan mata ketika program Saringan Kesihatan Peka B40 Percuma DUN Kota Anggerik di Dewan Jenjarum MBSA Seksyen 11, Shah Alam pada 27 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Di sini kita turut menyerahkan baucar Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kepada penerima yang lahir dalam bulan Januari serta penyerahan Program Bantuan Masuk Sekolah (PBMS) kepada ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) yang akan memasuki darjah satu tahun ini,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, S Adeline, 52, berkata beliau datang awal kerana tidak mahu terlepas peluang menjalani pemeriksaan kesihatan percuma kerana terpaksa menangguhkannya sebelum ini berikutan kekangan kos.

S Adeline, 52, 

“Jadi bila ada peluang ini memang saya tidak sabar mahu datang kerana boleh dapatkan pemeriksaan pap smear dan mamogram secara percuma yang kita tahu di luar boleh cecah ratusan ringgit.

“Saya harap mereka yang masih belum datang ambil peluang ini dan buatlah pemeriksaan kesihatan kerana mencegah lebih baik dari mengubati,” katanya.

Yeo Eng Keng, 65, 

Pesara, Yeo Eng Keng, 65, berkata selain menebus baucar SMUE, dia juga mengambil peluang membuat pemeriksaan mata percuma dan menempah cermin mata kerana harganya yang jauh lebih murah daripada pasaran dalam karnival itu.


Pengarang :