Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh ketika ditemu bual khas bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Balai Polis Trafik Jalan Bandar, Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Beberapa jalan ditutup pagi ini sempena raptai istiadat keberangkatan balik Agong

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Beberapa jalan utama dan lebuh raya sekitar ibu kota ditutup secara berperingkat dari 9 hingga 10 pagi ini bagi raptai Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong Ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata penutupan penuh laluan dibuat selama sejam mulai 9 pagi di Jalan Damansara, Jalan Sultan Abdul Halim dan Lebuhraya Sultan Iskandar menuju ke Jalan Parlimen.

“Penutupan penuh laluan turut dilakukan di Jalan Kuching, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tun Perak menuju ke Bulatan Datuk Onn,” katanya.

Beliau juga berkata jalan raya yang ditutup mulai 9.20 hingga 10 pagi ialah Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Travers, Jalan Sultan Hishamuddin dan Jalan Tun Sambanthan menuju ke Jalan Damansara.

Turut ditutup Jalan Syed Putra dan Jalan Dewan Bahasa menuju ke Jalan Istana, Jalan Sungai Besi ke arah Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Jalan Connaught dari arah Lebuhraya Syed Putra dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dari arah Pantai Dalam.

“Juga ditutup Lebuhraya Mex dari arah Plaza Tol Salak Selatan, Lebuhraya Shah Alam dari arah Sungai Besi, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan persimpangan SUKOM,” katanya.

Sarifudin berkata 91 anggota trafik terlibat dalam raptai itu dan pengguna jalan raya dinasihat mematuhi arahan polis.

– BERNAMA


Pengarang :