Pemain Harimau Malaya Faisal Halim dan Brendan Gan meraikan jaringan ketika menentang Korea Selatan dalam perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia di Stadium Al Janoub, Qatar pada 25 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

AFC: Aksi Harimau Malaya – Korea Selatan terbaik, menakjubkan

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Aksi terakhir Kumpulan E antara Korea Selatan dan Malaysia yang menyaksikan enam gol terhasil menjadi satu daripada enam aksi terbaik peringkat kumpulan yang menjadi pilihan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

AFC menyenaraikan enam aksi terbaik peringkat kumpulan dengan penyokong boleh mengundi perlawanan yang dianggap sebagai perlawanan pilihan di laman sesawangnya.

AFC menyifatkan aksi antara Korea Selatan menentang Malaysia yang berkesudahan 3-3 itu sebagai aksi ‘roller coaster’ terutama selepas menyaksikan kebangkitan Harimau Malaya yang berjaya mengikat pasukan di ranking ke-23 dunia itu dengan gol penyamaan pada minit akhir.

“Kekalahan tipis 0-1 pada minit akhir di tangan Bahrain menyingkirkan Malaysia ketika saingan berbaki satu perlawanan namun wakil Asia Tenggara itu mahu menutup kempen peringkat kumpulan bagi edisi kali ini dengan kebanggaan.

“Apa yang berlaku adalah satu aksi yang menakjubkan di mana penyokong mereka pasti akan bercakap mengenainya untuk bertahun-tahun akan datang,” kata AFC, lapor Berita Harian.

Lima lagi aksi yang disenaraikan AFC adalah pertembungan dua wakil ASEAN, Vietnam dan Indonesia yang menyaksikan Indonesia menang 1-0 dan kemenangan 4-2 dilakar Jepun ke atas Vietnam serta kemenangan 2-1 Arab Saudi ke atas Oman.

Selain itu, aksi antara Iraq berdepan Jepun yang berkesudahan 2-1 serta kemenangan 2-1 Tajikistan ke atas Lubnan yang menghantar Tajikistan ke pusingan kalah mati.

Setakat jam 12 tengah hari, aksi Korea Selatan-Malaysia menjadi pilihan tertinggi pelayar Internet dengan peratusan tertinggi 77 peratus diikuti aksi Vietnam-Indonesia dengan 19 peratus.


Pengarang :