Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama ikut serta persembahan tarian kebudayaan Orang Asal sempena Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak: Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 28 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Selangor berusaha imbangi kemajuan, budaya demi kesejahteraan

GOMBAK, 28 JAN: Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mengimbang di antara kemajuan dan kebudayaan bagi memastikan kesejahteraan penduduk.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan kebudayaan adalah sebahagian daripada ketamadunan yang terangkum dalam sesebuah komuniti dan bangsa.

“Kerajaan Negeri cuba seimbangkan antara kemajuan dan kebudayaan kerana kita tidak mahu terus hanyut dalam pembangunan tetapi tewas dalam tamadun.

“Sebab itu kerajaan memperkenalkan konsep Malaysia Madani yang menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya, yang berteraskan nilai, etika atau akhlak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak 2024 dan Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan di sini hari ini.

Persembahan nyanyian dan tarian kebudayaan orang asal ketika Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak: Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 28 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurut Amirudin, rakyat dihiasi dengan sifat kesopanan yang tinggi dan budaya itu tidak harus direntap atau dipengaruhi oleh barat menerusi media sosial.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri memperkenalkan pelbagai program kerohanian seperti majlis turath dan selawat bagi memastikan masyarakat terus hidup dalam suasana ilmu.

“Bukan sahaja Barat, malah budaya Arab juga tidak sesuai dengan kita. Mereka agak kasar dan kita harus bezakan antara agama dan budaya kerana agama membawa syariat yang turut merangkumi akhlak,” katanya.

Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak 2024 di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai dimeriahkan dengan pelbagai program seperti pertandingan bola sepak dan kaunter pameran agensi serta jabatan kerajaan.

Antara kaunter agensi yang dibuka adalah Sistem Pangkalan Data Utama (Padu), Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), saringan kesihatan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Pengarang :