Suasana di set penggambaran telefilem Ayah Panggil Balik terbitan Kerajaan Selangor di Rumah Cikgu Jenal, Jalan Sekolah, Morib, Banting pada 28 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Telefilem khas ‘Ayah Panggil Balik’ sarat mesej kekeluargaan, perpaduan

KUALA LANGAT, 29 JAN: Kerajaan Selangor bakal menerbitkan telefilem khas sempena Hari Raya Aidilfitri berjudul ‘Ayah Panggil Balik’, yang mengetengahkan mesej kekeluargaan dan perpaduan.

Bakal ditayangkan minggu kedua Syawal di saluran Radio Televisyen Malaysia, telefilem itu turut memaparkan bantuan kebajikan dalam program Iltizam Selangor Penyayang, kata EXCO kebudayaan.

Menurut Borhan Aman Shah, telefilem itu mengisahkan mengenai dua beradik iaitu Fendi dan Husna yang terpaksa meneruskan kehidupan di bandar selepas berdepan konflik kekeluargaan di kampung.

Jelasnya, kedua-dua watak lakonan Syafie Naswip dan Amirah Drummer menunjukkan kejayaan menempuh hidup mencabar menerusi pelbagai bantuan negeri seperti modal memulakan perniagaan dan perumahan.

“Selepas dua drama pendek diterbitkan iaitu Senandung Aidilfitri (2022) dan Selalu Ada tahun lalu mencatatkan bilangan tontonan agak memberangsangkan, ada permintaan untuk drama lebih panjang.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah (dua, kiri) berbual bersama barisan pelakon telefilem Ayah Panggil Balik terbitan Kerajaan Selangor di Rumah Cikgu Jenal, Jalan Sekolah, Morib, Hulu Langat pada 28 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Jadi, kali ini kita terbitkan telefilem yang sarat dengan kisah masyarakat dan diselitkan mesej inisiatif Kerajaan Negeri untuk rakyat manfaatkan,” katanya ditemui di sini, semalam.

Borhan yang berada di set penggambaran menambah telefilem itu juga menonjolkan hubungan rakyat dengan kerajaan yang saling berkait menerusi pelbagai bentuk program dan faedah.

Turut diketengahkan, katanya, keistimewaan Selangor Selatan iaitu Sepang dan Kuala Langat yang akan dibangunkan menerusi Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS).

“Kita mahu ketengahkan Selangor sebagai sebuah negeri berdaya huni yang tidak jauh dari bandar dan tidak terlalu terpencil dengan rakyatnya yang bersatu-padu,” katanya lagi.

Selain Syafie dan Amirah, telefilem berkenaan turut menampilkan pelakon veteran dan terkenal seperti Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Fazlina Ahmad Daud dan Ropie.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan beberapa EXCO Kerajaan Negeri juga akan membuat penampilan khas dalam telefilem berkenaan.


Pengarang :