Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Sultan Ibrahim murka ‘virus perpecahan’, tolak amalan sempit beragama

Sultan Ibrahim Iskandar menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 mulai 31 Januari 2024 selama lima tahun menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan penggal pemerintahan pada 30 Januari.

 

SHAH ALAM, 29 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Iskandar tegas dalam memelihara perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat dari anasir perpecahan politik dan amalan sempit beragama.

Terkenal lantang menyuarakan pandangan, Sultan Johor moden kelima itu sentiasa mengambil berat pelbagai isu semasa khususnya bersangkut paut aspek kestabilan negeri termasuk politik.

Baginda juga kerap melontar titah teguran terhadap amalan politik keterlaluan termasuk usaha menghasut rakyat membenci pemimpin yang dikhuatiri berupaya merosakkan kemakmuran sedia ada.

“Gunakan akal fikiran dan jangan menyesal kemudian hari. Pembawa virus ini akan menghentam kerajaan setiap hari dan menghasut rakyat supaya membenci pemimpin tetapi kebaikan yang dibuat kerajaan, semua mereka tidak nampak,” titah Baginda.

Titah peringatan di Pasir Gudang pada 3 November 2016 diulangi Baginda ketika menyempurnakan istiadat pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri Johor ke-14 pada 14 Mei 2020.

“Sekarang bukanlah masanya untuk bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi kerana tindakan sebegini akan melahirkan satu virus yang lebih berbahaya iaitu ‘virus perpecahan’,” titahnya.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 berkuat kuasa 31 Januari 2024. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Kepentingan diri

Sebulan selepas mesyuarat Majlis Raja-Raja yang memilih Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu, Sultan Ibrahim bertitah mengguna istilah sama, mencerminkan kebimbangan terhadap lunturnya perpaduan akibat perbuatan segelintir ahli politik.

“Virus ini berpunca daripada pemimpin politik yang sanggup berbalah, caci-mencaci, menabur fitnah dan memecah perpaduan rakyat demi mengejar kuasa dan kedudukan demi kepentingan diri sendiri,” titah Baginda pada 22 November 2023.

Diputerakan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 22 November 1958, Sultan Ibrahim juga sentiasa tegas menolak sikap melampau sebaliknya mahu nilai kesederhanaan diamal.

Ketegasan pendirian tersebut terserlah dalam titah ketika menegur pengusaha dobi layan diri di Muar yang mengkhususkan kedainya hanya untuk muslim pada 2017.

“Beta tidak boleh terima perkara mengarut seperti ini. Ini adalah negeri Johor, negeri milik Bangsa Johor dan milik semua rakyat tidak kira bangsa dan agama. Negeri ini adalah progresif, moden dan bersederhana.

“Ini bukan negara Taliban dan sebagai ketua agama Islam di Johor, beta merasakan tindakan ini sama sekali tidak boleh diterima dan bersifat ekstremis,” titah Baginda pada 27 September 2017.

Pada 26 Julai 2021, Sultan Ibrahim juga bertitah menegur pengusaha kedai runcit di Skudai yang didakwa memilih hanya kaum tertentu untuk menerima bantuan keperluan makanan harian.

“Jika mahu membantu mereka yang dalam kesusahan, bantulah semua tanpa mengira kaum dan agama. Lakukan secara ikhlas tanpa menimbulkan sebarang isu berkaitan perkauman,” titah Baginda.

Baginda juga menggesa Jabatan Pendidikan Johor mencegah sentimen berbaur kebencian apabila sebuah sekolah menengah di Johor Bahru menganjur bengkel peperiksaan hanya untuk pelajar Islam.

“Jabatan Pendidikan seharusnya bertindak pantas untuk menangani situasi sebegini agar tidak menular emosi negatif serta perkara tidak sahih dalam kalangan rakyat.

“Ia juga pengajaran kepada semua pihak yang perlu menangani rasa tidak puas hati mereka,” titah Baginda pada 24 Januari 2023 yang mahu memastikan tiada individu disisih atas faktor agama atau kaum.

Sultan Ibrahim dengan nada tegas mengingatkan penduduk Johor supaya menolak fahaman dan perbuatan ekstremisme yang dikhuatiri menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.

“Sejak dahulu lagi, saya sentiasa menitikberatkan dan mengingatkan semua bahawa persefahaman dan saling hormat-menghormati antara kaum menjadi tunjang perpaduan Bangsa Johor,” titahnya pada 23 Mac 2023.

Dalam mesyuarat khas Majlis Raja-Raja pada 27 Oktober tahun lepas, Sultan Ibrahim dipilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan pada 30 Januari.

Meski Baginda bakal bersemayam di Istana Negara, Sultan Ibrahim sentiasa ada satu mata dan telinga untuk memerhati serta memastikan Johor sentiasa dalam keadaan baik.

“Saya tidak akan jauh dari Johor. Bila kucing keluar daripada kawasan, tikus-tikus akan mula berkeliaran,” titah Baginda pada 23 Disember 2023.


Pengarang :