Wakil rakyat Kajang Cheong Kian Young (enam dari kiri) bersama penerima baucar beli-belah Tahun Baharu Cina di Pasaraya Econsave Bangi pada 28 Januari 2024. Foto Facebook David Cheung
ADNSELANGOR

Sempena Tahun Baharu Cina, 500 keluarga B40 di DUN Kajang terima baucar beli-belah

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 29 JAN: Seramai 500 keluarga kurang berkemampuan di DUN Kajang menerima baucar beli-belah Tahun Baharu Cina bernilai RM200.

Wakil rakyatnya Cheong Kian Young menjelaskan pemberian baucar itu adalah inisiatif Kerajaan Negeri meringankan beban golongan berpendapatan rendah (B40) membuat persediaan menyambut perayaan itu.

“Baucar beli-belah diberikan kepada 500 penerima masyarakat kaum Cina terdiri dalam kalangan golongan warga emas dan ibu tunggal yang layak setelah melakukan permohonan pada awal Januari lalu.

“Satu program ringkas telah dijalankan di Pasaraya Econsave Bangi, Jalan Reko. Semoga dengan inisiatif Kerajaan Negeri ini dapat memberi manfaat kepada penerima sekali gus meringankan beban dalam membuat persiapan menjelang Tahun Baharu Cina,” katanya di Facebook.

Pada masa sama, Kian Young turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat menyambut Perayaan Tahun Baharu Cina buat seluruh masyarakat berbangsa Cina khususnya di DUN Kajang.

Sebelum ini, EXCO pembasmian kemiskinan berkata sebanyak 23,900 baucar beli-belah sempena perayaan Tahun Baharu Cina membabitkan peruntukan RM4.78 juta disediakan tahun ini.

V Papparaidu memaklumkan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk 22 kawasan pembangkang menerima kuota antara 400 hingga 550 baucar mengikut populasi penduduk Cina di kawasan masing-masing.


Pengarang :