AGENDAJENAYAH

Pemilik stesen minyak didakwa jual diesel lebih had kepada bas negara jiran

JOHOR BAHRU, 29 JAN: Seorang pemilik stesen minyak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan menjual 500 liter diesel bernilai RM1,175 kepada sebuah bas dengan nombor pendaftaran asing di sebuah stesen minyak di Kempas Baru, tahun lepas.

Soraya Md Tamyes, 38, selaku Orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Wanita itu didakwa melanggar Larangan dan Kawalan Penjualan Petrol dan Diesel oleh Pemegang Lesen Runcit Bagi Pengusaha Stesen Minyak yang tidak membenarkan diesel dijual lebih 20 liter dengan sekali transaksi dalam sehari, sedangkan OKS telah menjual 250 liter diesel kepada bas dengan nombor pendaftaran asing.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah stesen minyak di Kempas Baru pada 11.04 pagi, 19 Mei 2023.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu turut didakwa melakukan kesalahan serupa dengan jumlah diesel dan kenderaan yang sama pada 10.34 pagi 30 Mei 2023.

Perbuatan itu melanggar Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri manakala OKS tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 28 Feb untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

— BERNAMA


Pengarang :