BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Manusia ke bulan bukan dongeng, sut canggih atasi suhu ekstrem

SHAH ALAM, 30 JAN: Tanggal 16 Julai 1969 merupakan hari bersejarah apabila kapal angkasa Apollo 11 yang membawa tiga angkasawan berjaya mendarat di bulan dengan selamat.

Program Apollo 11 dijayakan 400,000 orang kru dan menelan belanja $25 bilion. Seramai 600 juta orang di seluruh dunia menonton penjejakan kaki di bulan secara langsung.

Mungkin ramai tidak tahu, menurut D.A. Wiltshire dalam The Aeronautical Journal kejayaan bermakna itu menyumbang pelbagai teknologi moden seperti peranti tidak berkabel, bahan kalis api, imej digital, panel suria dan pelbagai lagi. Namun, terdapat ramai yang masih tidak mempercayai projek Apollo ini.

Mereka mempunyai alasan tertentu menyebabkan susah mempercayai pendaratan di bulan ini benar-benar berlaku. Antaranya suhu bulan terlalu panas, melebihi 100 darjah Celsius.

Maka, mustahil tubuh manusia boleh tahan suhu setinggi itu. Dalam kertas kajian diterbitkan makalah Icarus menyebutkan, suhu di bulan sangat ekstrem.

Bukan sahaja terlalu panas apabila disimbahi matahari, malah terlalu sejuk apabila berpaling dari matahari kerana tiada atmosfera.

Disebabkan itu angkasawan memakai sut angkasa sangat tebal dan mempunyai pelbagai fungsi.

Selain membuatkan angkasawan selesa dan tahan suhu ekstrem, sut itu juga mampu menahan tekanan dan sinaran seperti direkodkan dalam kertas berjudul Advanced Materials for Future Lunar Extravehicular Activity Space Suit terbitan makalah Advanced Materials Technologies pada 2020.

Sut ini kosnya mencecah sekitar $670,000 kalau ikut harga sekarang.

Kemudian, mereka juga beralasan bumi ini dikelilingi jalur sinaran Van Allen yang berbahaya sehingga mustahil untuk melepasinya.

Jalur sinaran Van Allen terdiri daripada elektron bertenaga tinggi dari julat 0.1 hingga 10 Megaelectronvolt.

Sinaran ini sememangnya sangat berbahaya pada manusia jika kita terdedah dengannya terlalu lama tanpa sebarang perlindungan.

Misi Apollo cuma menempuh sinaran ini selama satu jam saja dengan kelajuan sekitar 25,000 kilometer sejam.

Tambahan lagi, angkasawan menerima perlindungan daripada kapsul Dos, yang turut merekod penerimaan sinaran itu oleh angkasawan.

Ketika misi Apollo 11, angkasawan hanya menerima sinaran sekitar 0.18 rad. Sinaran ini tujuh kali lebih rendah daripada sinaran diterima pesakit mengimbas tomografi berkomputer (CT) (sekitar 1.2 rad).

Graviti rendah

Sinaran paling tinggi diterima angkasawan ialah 1.2 rad iaitu ketika misi Apollo 14 seperti dilaporkan dalam kertas Apollo experience report: Protection against radiation pada 1973.

Kadar bahaya buat manusia terdedah sebanyak 400 rad di kulit dan 50 rad pada darah. 25 rad dos paling rendah yang memberikan perubahan pada darah.

Setelah manusia mendarat di bulan, terdapat beberapa kejadian membuatkan sesetengah orang tidak mempercayai manusia pernah ke bulan. Antaranya, jika graviti di bulan rendah, mengapa bendera yang dipacakkan di bulan berkibar.

Hal ini kerana bendera yang dipacakkan itu tidak berkibar. Jika kita perhatikan gambar pemacakan bendera itu dengan betul, kita dapat lihat batang bendera itu sebenarnya berbentuk L.

Antara alasan paling popular ialah jika manusia pernah ke bulan pada 1969, mengapa manusia tidak pergi lagi walaupun teknologi semakin maju.

Kita kena maklum bahawa selepas Julai 1969, manusia sebenarnya pernah ke bulan lagi sebanyak lima kali iaitu pada November 1969, Januari 1971, Julai 1971, April 1972 dan Disember 1972. Seramai 24 orang pernah ke bulan dan 12 daripadanya pernah berjalan di bulan.

Persoalan lain timbul, mengapa selepas 1970-an, manusia tidak dihantar lagi ke bulan? Sebab kos. Peruntukan pada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) paling tinggi sewaktu 1970-an kerana motivasi untuk menang dalam Perang Dingin.

Dalam sesi pendengaran NASA di Kongres ke-93 pada 1974, didedahkan kos untuk ke bulan sangat tinggi, iaitu $25 bilion pada ketika itu – nilai hari ini bersamaan sekitar hampir $180 bilion.

Teknologi semakin maju, barang pun semakin murah. Manusia akan ke bulan lagi di bawah projek Artemis yang melibatkan banyak agensi angkasa seluruh dunia, bukan sahaja NASA.

Kos projek Artemis menelan belanja hingga $93 bilion – jauh lebih murah daripada projek Apollo seperti yang dinyatakan oleh laporan NASA pada 2021.

Namun, jika ada yang tidak tahu NASA hanya menerima bajet sekitar $20 bilion sahaja setiap tahun. NASA pula mempunyai banyak projek, bukan sahaja untuk ke bulan tetapi projek teleskop angkasa, projek di Marikh dan sebagainya.

 

 


Pengarang :