Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Op Daddy: Enam wanita ditahan bantu siasatan

KLANG, 29 JAN: Polis menahan enam lagi wanita bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki tempatan mempromosi video seks melibatkan lebih 20 wanita, melalui media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kesemua suspek berusia 21 hingga 36 tahun itu, diberkas minggu lalu menerusi fasa kedua Op Daddy.

“Siasatan mendapati kesemua wanita itu melakukan hubungan seks secara sukarela, tiada paksaan dan ada yang bermotifkan keuntungan. Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan, bagi mengesan individu lain yang terlibat dalam penghasilan video seks,” katanya pada sidang akhbar selepas program Dialog Awam bersamanya di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily turut mengingatkan orang awam bahawa, tindakan undang-undang boleh diambil kepada individu yang menyimpan bahan pornografi di dalam gajet termasuk telefon bimbit, mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Jumaat lalu, Bernama melaporkan seorang lelaki dan dua rakan wanitanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan aplikasi X.

Sementara itu, mengulas mengenai Op Pintas Mega di seluruh negara, beliau berkata hasil 42 serbuan dengan kerjasama 14 kontinjen polis bersama Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Alam Sekitar, Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor, seramai 285 warga asing ditahan.

“Seramai 64 mangsa diselamatkan dengan empat daripadanya Orang Kurang Upaya di bawah Seksyen 44 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007).

“Ini melibatkan secara pecahannya 22 wanita, lelaki (12), kanak-kanak perempuan (20) dan 10 kanak-kanak lelaki yang terdiri daripada pelbagai warga termasuk Filipina, Indonesia, Bangladesh, Kemboja dan Myanmar,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12 dan 14 Akta ATIPSOM 2007 selain Seksyen 55B, Seksyen 15 (1) (C) dan Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/1963.

– BERNAMA


Pengarang :