SHAH ALAM, 30 JAN: Dato’ Menteri Besar mendoakan kejayaan buat semua anak Selangor yang menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bermula hari ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari berharap pelajar dapat menjaga kesihatan masing-masing selain memastikan minda mereka dalam keadaan segar ketika menjawab soalan.
“Banyakkan doa setelah berusaha, moga Allah mempermudahkan urusan anda semua. Saya mendoakan urusan semua pelajar mudah dan diberi kelancaran ketika menjawab,” katanya di Facebook.
Minggu lalu, Amirudin mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin bersama jemaah Masjid Selayang Baru, Batu Caves bagi mendoakan kejayaan pelajar di Gombak yang menduduki peperiksaan besar itu.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/PSX_20240130_082003-500x333.jpg.webp)
Beliau yang juga ahli parlimen kawasan turut menyerahkan sumbangan bernilai RM500 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selayang Baru dan SMK Darul Ehsan.
Seramai 395,870 calon menduduki peperiksaan SPM di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan memaklumkan seramai 129,635 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan.
Sehingga 7 Mac, calon akan menjalani peperiksaan bertulis. Ujian bertutur bahasa Melayu dilaksanakan pada 8 hingga 11 Januari ini, manakala bahasa Inggeris (17-23 Januari).
Ujian mendengar bahsa Melayu dan Inggeris diadakan semalam, sementara ujian amali Sains Amali dilaksanakan pada 5 hingga 7 Disember tahun lalu.