Orang ramai menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 22 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

SIBS dianjur dua kali tahun ini, sasar nilai pelaburan RM7 bilion

SHAH ALAM, 30 JAN: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 menyasarkan potensi pelaburan sehingga RM7 bilion, hampir RM1 bilion melebihi perolehan tahun lalu.

EXCO pelaburan berkata jumlah itu mampu dicapai berikutan program berkenaan berlangsung dua kali tahun ini pada Julai dan Oktober, sekali gus mampu menampung permintaan tinggi pempamer.

Ng Sze Han menjelaskan sidang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) turut menyasar kehadiran 60,000 pengunjung dari pelbagai latar belakang termasuk pelawat perdagangan.

“Tahun ini kita adakan dua kali selepas melihat sambutan menggalakkan pada tahun-tahun sebelumnya. Untuk dua penganjuran ini, kita sediakan 1,200 reruai yang mempamerkan pelbagai produk dan sektor.

Pengunjung melawat reruai pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Jumlahnya bertambah daripada 972 reruai tahun lalu supaya lebih ramai boleh terlibat. Sidang pertama berlangsung pada 25 hingga 27 Julai manakala sesi kedua 16 hingga 19 Oktober,” katanya.

Untuk penganjuran pertama, Sze Han berkata sidang menjurus kepada dua sektor pelaburan popular iaitu Ekspo Taman Perindustrian Selangor (Spark) dan Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC).

Beliau menjangka Spark menarik syarikat multinasional dan kerajaan selain pengilang, pengusaha dan persatuan perniagaan, manakala SABC berpotensi menarik ramai pelabur dan syarikat besar di Asia.

“Untuk sesi kedua melibatkan empat acara iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan), Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor serta Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor,” katanya.

SIBS yang diperkenal pada 2016 menarik penglibatan banyak pihak agensi kerajaan serta negara luar antaranya China, Indonesia, Japan, Uganda, Vietnam, Kazakhstan, Korea, Turki, Kenya dan Australia.

Tahun lalu, sidang bertaraf antarabangsa merekodkan nilai transaksi pelaburan RM6.12 bilion, meningkat empat kali ganda berbanding sasaran RM1.5 bilion.


Pengarang :