EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berucap sempena majlis penutupan Program Say Aspire edisi ke 5 di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13, Shah Alam pada 29 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Program pembangunan usahawan belia diperkasa, galak teroka industri kreatif

SHAH ALAM, 30 JAN: Program pembangunan usahawan belia, SAY ASPIRE akan ditambah baik dengan menggalakkan penyertaan industri kreatif seperti batik, kraftangan, animasi dan fotografi di negeri ini.

EXCO keusahawanan berkata ramai anak muda menceburi industri kreatif namun produk tidak dikembangkan ke peringkat lebih tinggi menyebabkannya hanya terhad di media sosial sahaja.

“Tumpuan kepada produk kreatif itu dapat membantu mengembangkan lagi hala tuju industri ini selaras dengan hasrat kita mahu memperkasa ekonomi kreatif di Selangor.

“Pelbagai produk daripada industri akan membentangkan idea masing-masing seperti makanan dan minuman, kesihatan dan pakaian. Namun, pada kali ini kita turut ambil kira industri kreatif yang mempunyai perniagaan batik, kraftangan, seni, animasi dan fotografi.

“Mengambil contoh di Korea, mereka mengeksport produk berkaitan budaya dan menjadi ikutan sekali gus menguntungkan serta bermanfaat kepada masyarakat, bukan hiburan semata-mata,” kata Mohd Najwan Halimi selepas merasmikan program tersebut di Pustaka Raja Tun Uda di sini, hari ini.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi menyampaikan sijil penghargaan kepada Siti Sofiah Ramli wakil syarikat MEDICPETS sempena majlis penutupan Program Say Aspire edisi ke 5 di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13, Shah Alam pada 29 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Komuniti Belia Selangor (SAY) Aiman Syafiq Nadzri berkata program edisi kelima itu akan bermula pada Februari hingga Jun depan dengan beberapa modul dan latihan mengenai eksport.

“Seramai 50 usahawan akan melalui dua peringkat penilaian, namun 10 usahawan akan menyertai pembentangan akhir. Tiga pemenang utama berpeluang ke negara terpilih untuk tujuan promosi, rundingan perniagaan dan bimbingan khas secara individu dalam mengeksport produk mereka,” katanya.

Diilham oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sejak 2018, SAY membangunkan belia dalam bidang keusahawanan melalui program Liga Usahawan Wanita dan SAY ASPIRE selain menggembleng usaha dalam bidang sukan, seni, kebudayaan dan khidmat kemasyarakatan.

SAY ASPIRE yang diwujudkan sejak 2018 merangkumi latihan kewangan, strategi pemasaran serta perancangan strategik untuk menembusi pasaran luar negara.

Liga Usahawan Wanita pula membantu kaum Hawa berpendapatan bawah RM3,600, asnaf dan ibu tunggal untuk menjana pendapatan. Program percuma itu membantu mereka membina kemahiran, ilmu dan sumber.

Liga Usahawan OKU Selangor pula memberi peluang kepada golongan tersebut untuk mengembangkan perniagaan menerusi pasaran baharu, pendigitalan dan pasaran eksport.

Keusahawanan Mohd Najwan Halimi menyampaikan sijil penghargaan kepada Noor Ezzwanee Ahmad wakil syarikat MATRADE sempena majlis penutupan Program Say Aspire edisi ke 5 di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13, Shah Alam pada 29 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :