DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tiga, kanan) berkenan merai keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 30 Januari 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office
BERITA UTAMASELANGOR

Raja Muda berkenan rai keberangkatan pulang Agong, Raja Permaisuri

SHAH ALAM, 30 JAN: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan merai keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong hari ini.

Tengku Amir Shah menyambut keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Baginda berdua berangkat pulang ke negeri Pahang hari ini dalam Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, selepas menamatkan penggal pemerintahan di Istana Negara, Kuala Lumpur.

“Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berlepas pada jam 11.16 pagi, diiringi dua pesawat pejuang F/A-18D Hornet TUDM,” maklum Selangor Royal Office di Facebook.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah memcium tangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 30 Januari 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office

Keberangkatan Tengku Amir Shah diiringi Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Tengku Sulaiman Shah Alhaj; Yang Dimuliakan (YDM) Engku Maharaja Lela Setia Paduka Dato’ Syed Budriz Putra Jamalullail dan YDM Engku Panglima Setia Diraja Dato’ Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail.

Terdahulu, perarakan megah dan penuh warna-warni menyambut keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di KLIA.

Perarakan sejauh kira-kira 200 meter yang bermula dari persimpangan masuk Kompleks Bunga Raya menuju ke anjung kompleks berkenaan merupakan simbolik bagi menghidupkan semula zaman kegemilangan raja-raja Melayu dahulu kala, yang diinspirasikan daripada buku hikayat Sulalatus Sulatin atau Sejarah Melayu.


Pengarang :