EXCO Sukan Najwan Halimi (tengah) menghadiri sesi undian kumpulan sempena Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2024 yang dijadual berlangsung antara 13 hingga 18 Februari 2024. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Badminton Asia 2024: Laluan mudah Malaysia ke suku akhir

SHAH ALAM, 31 JAN: Malaysia dijangka berdepan laluan mudah sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang berlangsung Februari.

Sesi undian yang disiarkan di Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor semalam menyaksikan skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan B bersama Chinese Taipei, Kazakhstan dan Brunei.

Bagaimanapun, pasukan wanita dalam Kumpulan Y dijangka berdepan cabaran apabila diundi bersama-sama pilihan ketiga Thailand selain Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sementara itu, memetik laporan Utusan Malaysia, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia Rexy Mainaky menyuarakan keyakinannya untuk skuad kebangsaan mara ke suku akhir.

“Sudah pasti kita akan layak ke suku akhir kerana inilah undian yang diputuskan, baik pasukan lelaki dan wanita, kami akan ke suku akhir,” katanya seperti dilaporkan.

Selangor sekali lagi menjadi tuan rumah dalam kejohanan BATC 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Alam pada 13 hingga 18 Februari.

Sebelum ini, EXCO Sukan Najwan Halimi berkata lebih 300 pemain termasuk bertaraf dunia bakal berentap dalam kejohanan berprestij itu, yang menjadi medan ke Piala Thomas dan Uber 2024.

Pada 2022, Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia.

 


Pengarang :