Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning S Preakas (kanan) bertemu penduduk untuk membincang, meneliti dan mengenal pasti punca banjir di kawasan Taman Sri Muda pada 2 Januari 2024. Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Kemuning-Preakas Sampunathan
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat terus tumpu selesai isu banjir di Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 31 JAN: Isu banjir di Taman Sri Muda yang membelenggu penduduk lebih 10 tahun lalu menjadi tumpuan Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning untuk diselesaikan penggal ini.

S Preakas berkata usaha meliputi projek naik taraf sistem saliran bernilai RM6.8 juta sejak Julai 2021, termasuk pembinaan bangunan substesyen oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau menjelaskan antara skop utama projek terbabit melibatkan perlindungan tebing, pemasangan pam skru, pembinaan kuarters serta ‘compact sub’ dan komponen elektrikal.

“Selain itu, sekarang kita sedang laksanakan kajian teknikal bagi projek mega mitigasi banjir dengan kos keseluruhan lebih RM100 juta.

“Jika ia terlaksana, ia akan beri penyelesaian penuh kepada isu banjir dan kelegaan kepada kira-kira 30,000 penduduk Taman Sri Muda,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Preakas, projek binaan substesyen bagi bekalan elektrik ke rumah pam yang sepatutnya siap 24 Januari lalu berdepan kelewatan berikutan struktur tanah tidak kuat.

“Kerja pembinaan tidak dapat dilakukan kerana terdapat pergerakan tanah. Jadi, mereka perlu kuatkan tapak kerana ia terletak di tebing sungai,” katanya lagi.

Pada November tahun lalu, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan RM160 juta bagi membina tembok penghalang banjir di Taman Sri Muda.


Pengarang :