Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan melafaz sumpah serta menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara pada 31 Januari 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

MB merafak sembah tahniah Sultan Ibrahim sebagai Agong ke-17

SHAH ALAM, 31 JAN: Dato’ Menteri Besar merafak sembah tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Sultan Ibrahim hari ini melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mendoakan kedua-dua Seri Paduka Baginda dikurniakan keafiatan dan kesejahteraan untuk memerintah negara agar terus makmur dan sejahtera.

“Sembah takzim daripada patik selaku ahli parlimen Gombak dan mewakili pentadbiran serta Kerajaan Selangor,” tulisnya di Facebook.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan hari ini ialah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, pada Oktober lepas bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.


Pengarang :