Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim ketika ditemui selepas mesyuarat bulanan di Ibu Pejabat MBSJ, Subang Jaya pada 31 Januari 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ denda pengurusan pangsapuri gagal buat mesyuarat agung tahunan

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SUBANG JAYA, 31 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluar tiga kompaun ke atas pengurusan bangunan Main Place, USJ 21 selepas gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) mengikut tempoh ditetapkan.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) mendapati perbadanan pengurusan pangsapuri servis itu gagal mengadakan AGM kedua dan ketiga pada 2021 dan 2023.

“Kompaun dikeluarkan selaras Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) yang menjelaskan AGM perlu diadakan sekali setahun dengan syarat tidak lebih daripada 15 bulan.

“Selain itu, Badan Pengurusan Bersama (JMB) Main Place turut dikompaun atas kegagalan memfailkan bon kepada COB kerana melantik pengurus harta tidak berdaftar dari 2017 hingga 2019,” katanya pada mesyuarat bulanan di Ibu Pejabat MBSJ hari ini.

Beliau menjelaskan kompaun dikeluarkan selaras dengan Subperaturan 21(5) Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015, Akta 757.

“Notis tawaran kompaun sebanyak RM25,000 dikenakan bagi setiap kesalahan dan diberi tempoh selama 14 hari untuk menjelaskannya.

“Jika tiada bayaran dibuat, tindakan pendakwaan boleh diambil dan disabit denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap kesalahan,” katanya.

Mohd Fauzi turut menasihatkan pengurusan bangunan di Subang Jaya melaksanakan kewajipan sebagaimana ditetapkan Akta 757.

“Ia adalah bagi mengelakkan tindakan kompaun dan pendakwaan di mahkamah.

“AGM adalah medium utama kepada semua pemilik pembangunan berstrata untuk berbincang dan membuat ketetapan dalam memastikan aspek pengurusan serta penyelenggaraan bangunan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur,” katanya.


Pengarang :