Antara aksi skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara menewaskan Poland 4-3 pada aksi separuh akhir Kejohanan Hoki 5s Piala Dunia 2024 di Muscat, Oman pada 31 Januari 2023. Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation
AGENDASUKANKINI

Naib juara Piala Dunia Hoki 5s pencapaian tertinggi hoki negara

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Kejayaan muncul naib juara edisi sulung Piala Dunia Hoki 5s selepas tunduk kepada Belanda 2-5 awal pagi tadi adalah pencapaian tertinggi bagi sukan hoki Malaysia.

Ketua jurulatih skuad Hoki 5 sebelah (5s) lelaki kebangsaan Wallace Tan berkata anak buahnya telah mengerah segala usaha pada aksi final kejohanan di Muscat, Oman itu, namun terpaksa akur dengan kehebatan Belanda selaku juara Eropah.

“Untuk pentas Piala Dunia, ini pencapaian tertinggi dan terbaik untuk hoki Malaysia. Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan kepada pasukan kami,” katanya dalam satu video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kepada media.

Justeru, Wallace berharap peminat sukan tanah air terus memberikan sokongan padu kepada skuad hoki negara selepas ini biarpun kempunan meraih gelaran juara di Oman.

Malaysia memulakan kempen peringkat Kumpulan D dengan keputusan seri 3-3 bersama tuan rumah, Oman sebelum mencatat dua kemenangan masing-masing mengatasi Amerika Syarikat 3-2 dan Fiji 8-3 bagi mengesahkan slot ke suku akhir.

Skuad kebangsaan yang bergelar naib juara Kumpulan D kemudian menumpaskan juara Kumpulan C Trinidad dan Tobago 5-4 di peringkat suku akhir sebelum mengesahkan kemaraan ke final dengan mengatasi Poland 4-3 pada aksi separuh akhir.

– BERNAMA


Pengarang :