DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) berkenan menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon (dua, kanan) dan Pengarah Urusan Daikin Malaysia Lawrence Song Yew Beng (tiga, kiri) pada majlis menandatangani Kerjasama Strategik antara Selangor FC dan Daikin Malaysia Sales & Service Sdn Bhd (DMSS) di Daikin Malaysia, Sungai Buloh, Shah Alam pada 1 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Tajaan Daikin suntik semangat Selangor FC hadapi musim Liga Malaysia

SHAH ALAM, 1 FEB: Selangor FC terus mendapat suntikan semangat bagi menghadapi saingan musim ini dengan meneruskan kerjasama strategik bersama syarikat penyaman udara terkemuka Jepun, Daikin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Johan Kamal Hamidon berkata pencapaian besar pasukan Gergasi Merah menerima tajaan syarikat itu untuk dua musim berturut-turut membantu mengukuhkan jenama kelab.

“Menerusi kerjasama ini juga, logo jenama Daikin akan dipaparkan pada jersi perlawanan dan latihan pasukan bola sepak Merah Kuning pada musim hadapan,” katanya.

Beliau ditemui selepas memeterai perjanjian dengan syarikat itu, yang disaksikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Ketua Pegawai Daikin Malaysia Toshiharu Tsurumaru.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (dua, kanan) berkenan menyaksikan penyampaian cenderamata jersey Selangor FC oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon (kanan) dan Pengarah Urusan Daikin Malaysia Lawrence Song Yew Beng pada majlis menandatangani Kerjasama Strategik antara Selangor FC dan Daikin Malaysia Sales & Service Sdn Bhd (DMSS) di Daikin Malaysia, Sungai Buloh, Shah Alam pada 1 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dr Johan menambah Selangor FC kini giat merangka strategi bagi memastikan pasukan berkenaan tampil selaku pencabar utama pada musim depan, selain mengadakan lebih banyak kerjasama strategik.

“Naik taraf Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya selaku ‘Home Venue’ juga dalam proses dan kita menjangka kekuatan pasukan akan ditambah dengan kehadiran pemain import baharu kelak,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Pemasaran Daikin Malaysia Louis Chan berkata tajaan sejumlah wang tunai merupakan tanda sokongan buat Selangor FC menghadapi saingan musim hadapan.

Beliau menjelaskan kesinambungan kerjasama bermula tahun lalu juga komitmen syarikat berkenaan untuk pembangunan bola sepak dan membina hubungan baik bersama komuniti melalui sukan.

“Kami juga berharap tajaan ini akan memberi suntikan semangat buat Selangor FC untuk bersaing musim hadapan terutama setelah layak ke Piala Konfederasi Asia (AFC),” katanya.

 


Pengarang :