SHAH ALAM, 1 FEB: Selangor FC yang mengekalkan sebahagian besar pemain sedia ada merancang untuk membawa masuk beberapa pemain import baharu.
Pengendalinya Tan Cheng Hoe berkata kemasukkan dua hingga tiga pemain import baharu itu bagi memperkuatkan lagi skuad Merah Kuning dalam mengharungi saingan musim hadapan.
“Setiap musim sudah semestinya akan ada perubahan skuad, ada pemain akan kekal dan pergi. Sebahagian besar pemain akan kekal, tetapi akan ada kemasukan pemain baharu.
“Dalam jangka masa terdekat ini, saya bersama pihak pengurusan akan berbincang untuk kemasukan antara dua hingga tiga pemain import,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik Selangor FC dan Daikin Malaysia di Ibu Pejabat Daikin, Sungai Buloh di sini, hari ini.
Menurut Cheng Hoe, beliau mahu menyiapkan Selangor FC untuk menjadi pasukan yang lebih mantap termasuk merancang membawa pasukan berlatih di luar negara.
“Persiapan rapi perlu dilakukan kerana kita akan mengharungi musim lebih panjang, bukan mudah untuk mempersiapkan pasukan serta mengekalkan intensiti.
“Sesi latihan di luar negara cukup penting terutama apabila mengadakan perlawanan persahabatan bersama kelab tempatan yang lebih kuat untuk menguji para pemain,” katanya.
Semalam, Selangor FC mengumumkan pemain sayap sensasi, Faisal Halim memilih untuk terus bersama-sama pasukan itu bagi musim baharu Liga Super.
Sebelum Faisal, Selangor turut mengumumkan beberapa nama utama seperti Mukhairi Ajmal, Safuwan Baharudin serta Yohandry Orozco akan terus bersama Gergasi Merah.
Selain itu, mereka turut mengekalkan barisan pemain muda mereka seperti Sikh Izhan Nazrel, Danial Asri, Harith Haiqal dan Izwan Yuslan.