Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhamad melawat ke reruai jualan dan pameran ketika Majlis perasmian Program Balik Kampung Festival Tahun Baharu Cina 2024 di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Februari 2024. Hadir sama EXCO Pelaburan Ng Sze Han dan EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pembahagian jawatan HARAPAN-BN di Selangor selesai sebelum Ramadan

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Isu pembahagian jawatan di antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Selangor dijangka selesai menjelang Ramadan ini.

Menyifatkan ia sebagai perkata biasa, pengerusi HARAPAN Selangor berkata hal itu boleh diselesaikan dengan mudah berikutan wujud persefahaman antara semua pemimpin parti terlibat.

“Saya sudah dapat maklum balas awal daripada mereka dan ada persefahaman dengan semua. Ini bukannya terlalu besar, mungkin hanya laporan berita yang buat ia gempar.

“Sebelum Tahun Baharu Cina saya akan cuba dapatkan masa. Saya ada cadangan tetapi saya ingat sebelum bulan puasa ini kita boleh muktamadkan semua,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Terdahulu beliau bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad meluangkan masa melawat reruai jualan Festival Balik Kampung Tahun Baharu Cina di pusat beli-belah Pavillion Bukit Jalil di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhamad melawat ke reruai jualan dan pameran ketika majlis perasmian Festival Balik Kampung Tahun Baharu Cina di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Februari 2024. Hadir sama EXCO Pelaburan Ng Sze Han dan EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dato’ Menteri Besar juga berkata tiada perubahan terhadap semua jawatan ahli majlis yang telah dilantik bagi memastikan urusan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berjalan dengan baik.

Pada 20 Januari lalu, Pengerusi Umno Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin memutuskan menyerah kembali kuota 20 jawatan ahli majlis PBT kepada HARAPAN.

Megat Zulkarnain dilapor berkata tindakan itu bagi memberi tumpuan kepada 373 jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung yang dilantik bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.


Pengarang :