Peserta membuat pemeriksaan mata ketika program Saringan Kesihatan Peka B40 Percuma DUN Kota Anggerik di Dewan Jenjarum MBSA Seksyen 11, Shah Alam pada 27 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor Saring jelajah 56 DUN berperingkat, mula tengah Februari

SHAH ALAM, 1 FEB: Program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri diteruskan lagi tahun ini bermula pertengahan bulan ini.

EXCO kesihatan awam berkata Selangor Saring menjelajah ke 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berperingkat, bagaimanapun lokasi pertama program belum dimuktamad.

Menurut Jamaliah Jamaluddin, kaedah program kali ini sedikit berbeza berbanding tahun sebelumnya bagi memastikan semua penduduk mendapat manfaat.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin

“Tahun ini kita mahu menggunakan ‘tagline’ bagi program ini kepada pencegahan adalah penawar terbaik bagi memastikan lebih ramai masyarakat cakna betapa pentingnya menjaga kesihatan.

“Program pemeriksaan juga lebih diperluas antaranya saringan barah, pemeriksaan gigi dan telinga, mammogram bagi wanita dan saringan mata,” katanya ketika dihubungi.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2024, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan Selangor Saring.

Program diperkenal bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal dengan menyasar individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Ia antara enam inisiatif diperkenal pentadbiran Selangor khusus untuk rakyat negeri ini bermula dari saringan percuma, bantuan kewangan serta pembiayaan.


Pengarang :