EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 6 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

RM20 juta diperuntuk bina projek tebatan banjir di DUN Bandar Utama

SHAH ALAM, 2 FEB: Sebanyak RM20 juta diperuntuk bagi kerja pembinaan projek tebatan banjir di beberapa kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama.

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata peruntukan sepenuhnya dari Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) itu akan dilaksana 24 Mac ini.

“Kawasan terlibat dengan pembinaan projek tebatan banjir ini adalah di sepanjang Sungai Kayu Ara di Kampung Chempaka PJU1/4 dengan anggaran jarak kira-kira satu kilometer merangkumi lima lokasi kritikal.

“Projek ini dijangka mengambil masa dua tahun untuk siap dan kita yakin kemungkinan besar banjir tidak lagi melanda kawasan terlibat,” katanya kepada Selangorkini.

Mengulas antara tumpuan lain di DUN Bandar Utama tahun ini, Jamaliah berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bagi gantian paip di beberapa kawasan sekitar.

Menurut EXCO Kesihatan itu lagi, antara kawasan terlibat adalah kediaman di Zon 5-7 Petaling Jaya yang mana paip sedia ada sudah usang dan perlu diganti tahun ini.

“Program saringan kesihatan dengan kerjasama Hospital Assunta diteruskan lagi tahun ini melalui penganjuran setiap bulan bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

“Selain itu, klinik guaman juga akan dilaksanakan di pusat khidmat masyarakat DUN Bandar Utama setiap dua bulan sekali bagi membantu individu yang memerlukan nasihat guaman,” jelasnya.


Pengarang :