Tahanan etnik Rohingya dibawa dari Depot Imigresen Sementara Relau Bandar untuk dipindahkan ke depot tahanan lain pada 20 April 2022. Foto BERNAMA.
AGENDANASIONAL

131 pendatang asing etnik Rohingya, Myanmar lari dari pusat tahanan imigresen

IPOH, 2 FEB: Seramai 131 pendatang tanpa izin melarikan diri dari blok lelaki Depot Tahanan Imigresen Bidor semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi berkata daripada jumlah itu, 115 orang merupakan etnik Rohingya, manakala 16 lagi ialah warga Myanmar.

“Kami menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan semua tahanan itu melarikan diri….seorang lelaki disyaki tahanan yang lolos terlibat dalam kemalangan jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian di KM 335 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pencarian kesemua tahanan yang lolos dan siasatan masih diteruskan dengan bantuan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Bidor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Bukit Aman.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus ke Bilik Gerakan IPD Tapah melalui talian 05-4015222,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :