Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melakukan pemantauan dan siasatan di Sungai Selangor dan Sungai Sembah susulan peningkatan kadar kekeruhan di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, pada 1 Februari 2024. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tindakan pantas LUAS atasi air keruh di Sungai Selangor, Sungai Sembah

SHAH ALAM, 2 FEB: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengaktifkan pemantauan di Sungai Selangor dan Sungai Sembah berikutan kadar kekeruhan di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang malam tadi.

Agensi itu turut melakukan siasatan di kawasan berhampiran dan tindakan mitigasi selepas kadar kekeruhan yang direkodkan di LRA Rantau Panjang jam 10 malam tadi adalah 2,238 NTU berbanding bacaan normal di bawah 500 NTU.

“Semakan LUAS di LRA berdekatan iaitu SSP1, SSP2 dan SSP3 juga mendapati bacaan kekeruhan direkodkan antara 1,000 ke 2,000 NTU.


Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengaktifkan pemantauan di Sungai Selangor dan Sungai Sembah berikutan kadar kekeruhan di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, pada 1 Februari 2024. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor

“LUAS segera menyelaraskan pembukaan pintu baraj sungai serta mengaktifkan pengepaman air mentah dari HORAS 600 sebanyak 300 JLH dan kolam alternatif Kuala Lumpur-Larut sebanyak 192 JLH bagi mempercepatkan aliran kekeruhan itu melepasi kawasan muka sauk loji,” menurut kenyataan LUAS hari ini.

Pada masa sama LUAS turut melakukan siasatan di beberapa kawasan anak sungai meliputi Sungai Kundang, Sungai Kuang, dan Sungai Serai dan mendapati bacaan kekeruhan adalah normal di bawah 500 NTU.

Menurut LUAS pemantauan dilakukan sepanjang malam di Sungai Selangor dan Sungai Sembah dengan bacaan kualiti air iaitu tahap kekeruhan dianalisa setiap jam.

“Pemantauan ini ditamatkan 4 pagi tadi setelah didapati kualiti air di Sungai Selangor dan Sungai Sembah kembali pulih di bawah 500 NTU bacaan kekeruhan. Tiada henti tugas loji dilaporkan,” katanya.

LUAS berkata berdasarkan pemerhatian, peningkatan kadar kekeruhan itu disebabkan hujan lebat di kawasan Sungai Sembah petang semalam.

Berikutan itu LUAS meneruskan siasatan dan semakan susulan pagi ini di kawasan terlibat bagi mengenal pasti aktiviti yang berpotensi menyebabkan peningkatan kekeruhan di Sungai Selangor dan Sungai Sembah.


Pengarang :