(Gambar hiasan) bawang merah. Foto ihsan majalah Mingguan Wanita
AGENDANASIONAL

Menteri: Produk bawang merah Mardi kurangkan bergantung barang import

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Tiga jenis bawang merah berjaya dihasilkan, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada bawang import.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata demi memenuhi matlamat pengurangan import bawang sebanyak 30 peratus, Jabatan Pertanian Malaysia pada 24 Januari lepas telah memulakan penanaman Bawang Merah Mardi BAW-1 di kawasan seluas satu hektar di Kuala Bikam, Batang Padang, Perak.

Menurut beliau penyelidikan yang dijalankan pada tahun lepas telah menghasilkan tiga jenis bawang merah iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3.

“Saya telah mengarahkan Mardi (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) untuk memberikan tumpuan yang lebih serta memantau rapat pertumbuhan dan pengeluaran Bawang Merah Mardi BAW-1 ini.

“Data-data yang diperoleh nanti dapat membantu kementerian merangka pelan penanaman bawang merah tempatan ini secara besar-besaran,” kata beliau dalam hantaran Facebook miliknya.

Mohamad berkata krisis bekalan bawang yang berlaku pada 2020 akibat bencana banjir besar di India telah menyebabkan kenaikan harga bawang di pasaran lebih 30 peratus daripada RM6 kepada RM8 sekilogram.

Sebelum ini, ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2024, beliau berkata kementeriannya akan memberi fokus untuk mengukuhkan industri bawang tahun ini.

-BERNAMA

 


Pengarang :