Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bercakap kepada media selepas majlis sambutan Tahun Baharu Cina dan penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangasan Yu Hua, Kajang pada 2 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri minta ibu bapa adu jika bantuan awal sekolah dipotong

SHAH ALAM, 2 FEB: Ibu bapa diminta melaporkan segera kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tindakan lanjut jika berlaku pemotongan Bantuan Awal Persekolahan (BAP).

Menterinya Fadhlina Sidek menjelaskan pihak sekolah perlu menyerahkan jumlah penuh sebanyak RM150 mengikut garis panduan ditetapkan bagi meringankan beban ibu bapa dan penjaga.

“Kalau ada pemotongan, kena lapor kepada KPM untuk terus kita siasat kerana jumlah yang diberikan perlu diterima sepenuhnya. Kalau ada potongan, kita minta kemukakan aduan,” katanya.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyampaikan sampul duit kepada pelajar pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang pada 2 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau ditemui pemberita selepas majlis sambutan Tahun Baharu Cina dan penyerahan cek cura BAP peringkat Selangor di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang individu mendakwa pihak sekolah anaknya hanya memberikan RM50 ketika proses pengagihan BAP yang sepatutnya berjumlah RM150.

Individu itu mendakwa guru di sekolah berkenaan memotong RM100 dengan alasan sebagai bayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan koperasi.

Minggu lalu, KPM memaklumkan bayaran penuh BAP perlu dibuat tanpa pemotongan dan kementerian prihatin terhadap beberapa aduan diterima berkaitan penyaluran peruntukan itu kepada murid.

Sebarang pertanyaan atau aduan mengenai bayaran bantuan persekolahan itu boleh dibuat menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM.

Belanjawan 2024 memperuntuk RM788.13 juta bagi melaksanakan BAP yang akan memanfaatkan lebih 5.25 juta murid.


Pengarang :