Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh. Foto Facebook Jabatan Imigresen Malaysia
AGENDANASIONAL

100 anggota imigresen, PGA ditambah kesan pendatang asing lolos dari pusat tahanan

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Seramai 100 lagi anggota ditambah terdiri daripada Jabatan Imigresen dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengesan 130 tahanan yang lolos dari pusat tahanan di Depot Imigresen di Bidor, Perak.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata kesemua anggota itu diatur gerak pada pagi ini untuk meneruskan operasi pencarian.

Beliau berkata 275 anggota daripada pelbagai agensi seperti imigresen, PGA dan Jabatan Sukarelawan dikerahkan sejak malam tadi untuk mengesan tahanan berkenaan.

“Jabatan Imigresen dengan kerjasama beberapa agensi lain sedang giat menjalankan operasi bagi menangkap semula 130 tahanan dari 131 tahanan yang melarikan diri pada 9.50 malam tadi.

“Seorang tahanan disahkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruslin memohon jasa baik orang awam yang mempunyai maklumat terhadap tahanan yang melarikan diri hubungi Bilik Gerakan Depot Imigresen Bidor di talian 05-4348736, Balai Polis Bidor (05-4342222) atau Balai Polis Tapah (05-4011222).

Malam tadi 131 pendatang tanpa izin melarikan diri dari blok lelaki Depot Tahanan Imigresen Bidor, Perak.

Hari ini, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi dilapor berkata daripada jumlah itu, 115 orang merupakan etnik Rohingya, manakala 16 lagi warga Myanmar.

– BERNAMA


Pengarang :