Penduduk membuat pendaftaran Pangkalan Data Utama (Padu) ketika Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak: Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 28 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

2.38 juta individu kemas kini maklumat dalam sistem pangkalan data takat 1 Februari

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) merekodkan jumlah pengemaskinian maklumat individu 2.38 juta orang berdasarkan sumber data pentadbiran setakat semalam.

Padu dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan diberikan sejak dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, 2 Januari lalu.

Menurut infografik yang turut dikongsikan bersama hantaran itu, Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 0.38 juta individu, diikuti Sarawak (0.31 juta), Johor (0.24 juta) manakala Perak dan Sabah, masing-masing (0.21 juta) individu.

Bagi negeri lain pula, Kedah dan Kelantan masing-masing merekodkan (0.16 juta) individu, Terengganu (0.13 juta), Pahang dan Kuala Lumpur, masing-masing (0.12 juta), Pulau Pinang dan Sarawak, masing-masing (0.11 juta), Melaka (0.07 juta), Perlis (0.03 juta) manakala Labuan dan Putrajaya masing-masing merekodkan (0.01) juta individu.

Orang ramai boleh mengemas kini maklumat mereka dalam sistem Padu menerusi laman sesawang www.padu.gov.my, yang dibuka dari 2 Januari hingga 31 Mac ini.

– BERNAMA


Pengarang :