Timbalan Pengerusi LPPKN Juwairiya Zulkifli melawat klinik bergerak LPPKN di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Selangor, Shah Alam pada 2 Februari 2024.Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LPPKN tawar ujian percuma barah pangkal rahim dalam Selangor Saring

SHAH ALAM, 2 FEB: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri menawarkan saringan mamogram dan barah pangkal rahim dalam program Selangor Saring mulai bulan ini.

Timbalan Pengerusinya Juwairiya Zulkifli berkata sebanyak 6,500 kuota percuma disediakan bagi kedua-dua perkhidmatan tersebut menerusi kerjasama sulung agensi berkenaan dengan Kerajaan Negeri.

“Ini kerjasama sulung LPPKN Selangor dan Kerajaan Negeri. Kita harapkan kerjasama ini akan berterusan demi manfaat rakyat,” katanya selepas melawat LPPKN Selangor di sini, hari ini.

Ini merupakan kunjungan pertama Juwairiya ke pejabat LPPKN peringkat negeri sejak menggalas jawatan sebagai timbalan pengerusi agensi berkenaan pada bulan lalu.

Bekas Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati itu turut berhasrat mengadakan siri lawatan ke LPPKN seluruh negara dalam usaha memastikan fungsi agensi tersebut terus diperkasa.

Menurutnya, LPPKN memiliki pelbagai dasar dan modul komprehensif yang perlu diketengahkan untuk manfaat setiap keluarga di negara ini.

“Kita harus popularkan dasar dan program kita supaya wanita, khususnya keluarga di Malaysia tahu dan memanfaatkannya. Lawatan ini akan disusuli kunjungan ke semua LPPKN seluruh negara,” katanya.


Pengarang :