SHAH ALAM, 2 FEB: Sebanyak 1,200 kuota untuk program penjagaan ibu bersalin dan urutan (MamaCare) disediakan kepada golongan wanita di Selangor pada tahun ini.
Timbalan pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berkata program latihan kendalian agensi itu akan dipromosi ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula di Hulu Klang.
“Kita akan promosikan program MamaCare di setiap DUN untuk kita cari wanita yang berminat dan bantu mereka membentuk kerjaya yang mereka inginkan.
“Kita akan bermula di Hulu Klang, dan kemudian akan ke seluruh Selangor. Program ini amat bagus selain ia disediakan secara percuma kepada peserta,” kata Juwairiya Zulkifli kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri lawatan rasmi ke LPPKN Selangor di Seksyen 17 di sini. Kunjungan Juwairiya disambut pengarahnya Shafareeza Ismayatim dan Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor Gan Pei Nei.
Dalam pada itu, Juwairiya menambah sebanyak 3,800 wanita sudah menjalani latihan MamaCare sejak program berkenaan diperkenalkan pada 2012.
Jelasnya, LPPKN menyediakan perkhidmatan kelas kemahiran dan penyediaan produk selain peserta turut dibimbing serta dipantau sehingga tamat kursus.
“Program ini berterusan dan sentiasa mendapat sambutan. Kita sediakan semuanya bermula dari A sehingga Z. Malah peserta juga akan dilibatkan dalam program sampingan LPPKN selepas tamat kursus,” katanya.
Insiatif MamaCare merupakan program inovasi sosial dan latihan kemahiran komprehensif selama seminggu mengenai penjagaan ibu selepas bersalin dan urutan tradisional.
Ia terbuka kepada kumpulan wanita berpendapatan rendah dan ibu tunggal bertujuan membantu meningkatkan sumber pendapatan serta kemahiran diri masing-masing.