Tiga anggota tentera maut dalam kemalangan libat empat kenderaan di Kilometer 77.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, dekat Gurun pada 2 Februari 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiga anggota tentera maut dilanggar lori terbabas

ALOR SETAR, 2 FEB: Tiga anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk tiga trak tentera di Kilometer 77.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, dekat Gurun hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali berkata semua anggota tentera berusia antara 30 hingga 40 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada 10.22 pagi dan sepasukan anggota BBP Guar Chempedak bersama bantuan enam anggota dari BBP Pendang dikerahkan ke lokasi. Terdapat empat mangsa dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan, tiga trak tentera dan lori jenis Isuzu.

“Dipercayai kesemua trak tentera yang bergerak secara konvoi itu berhenti apabila satu daripadanya rosak dan ketika anggota turun dari kenderaan itu, sebuah lori yang dipandu lelaki berumur 31 tahun terbabas dan melanggar semua mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu lori Isuzu itu parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut manakala tiga anggota tentera yang maut itu dihantar ke unit forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.

– BERNAMA


Pengarang :