KUALA LUMPUR, 3 FEB: Penonton dinasihat menggunakan pengangkutan awam untuk menyaksikan Selangor menentang Singapura dalam Piala Sultan Selangor (TSSC) di Stadium Merdeka pada 17 Ogos nanti.
Pengerusi Jawatankuasa TSSC Tan Sri Abd Karim Munisar berkata Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) turut bersetuju untuk melanjutkan operasi sehingga 12.30 pagi pada hari perlawanan.
“Empat stesen berdekatan stadium iaitu stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Hang Tuah, Transit Aliran Massa (MRT) Merdeka dan dua stesen monorel iaitu Hang Tuah dan Maharajalela.
“Sebaiknya guna pengangkutan awam ini untuk memastikan perjalanan lancar kerana terdapat pembinaan di kawasan sekitar stadium yang akan menimbulkan kesulitan lalu lintas,” katanya.
Ditemui selepas melakukan tinjauan di seluruh stesen berkenaan di sini semalam, Abd Karim berkata tiga pintu masuk utama stadium dibuka untuk memudahkan pergerakan penyokong.
Menurutnya, pintu masuk tiga dan empat ditetapkan bagi stesen MRT Merdeka, LRT Hang Tuah dan Monorel Hang Tuah sementara pintu masuk lapan bagi stesen Monorel Maharajalela.
“Tiket berharga RM10 akan dijual mengikut kuadren kedudukan stadium yang akan dicetak pada tiket beserta nombor pintu masuk utama.
“Jadi penyokong dinasihatkan untuk berhenti di stesen yang berdekatan pintu masuk nombor tersebut,” katanya yang menjangkakan 20,000 penonton hadir menyaksikan perlawan berkenaan.
Piala berprestij melibatkan perlawanan tradisi dengan Singapura kembali diadakan pada 17 Ogos depan selepas tertangguh empat tahun susulan Covid-19.
Kali terakhir TSSC diadakan pada 2019 yang menyaksikan Pilihan Selangor menewaskan Pilihan Singapura 1-0.