PETALING JAYA, 3 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku Lim Yi Wei dipilih sebagai Presiden Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) bagi penggal 2024-2026.
Pemilihan Yi Wei menerajui kesatuan berkenaan diumum dalam Mesyuarat Agung Tahunan KRS yang berlangsung di Hotel Crystal Crown Petaling Jaya, hari ini.
Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan itu Yi Wei menyifatkan pelantikannya sebagai amanah dan tanggungjawab untuk mengembalikan kegemilangan ragbi Selangor.
“Terima kasih atas pelantikan ini. Saya tidak masuk sebagai ahli politik yang mahu kedudukan dalam kelab atau kesatuan sukan semata-mata untuk popular tetapi saya masuk sebagai pencinta sukan ragbi.
“Kami akan berusaha untuk melakukan yang terbaik dengan barisan jawatankuasa yang baharu untuk mengembalikan kegemilangan ragbi Selangor,” katanya.
Ditanya sama ada beliau tertekan dengan pelantikan itu memandangkan sukan ragbi lebih sinonim dengan lelaki, Yi Wei yang pernah menjadi pemain ragbi dari 2010 hingga 2014 ketika melanjutkan pelajaran di Hong Kong University of Science and Technology berkata ia satu cabaran buatnya.
“Saya rasa agak gementar tapi saya menjadikannya sebagai cabaran supaya wanita lain yang terlibat dalam sukan ini lebih yakin bukan hanya menjadi atlet tetapi juga boleh menerajui persatuan sukan,” katanya.
Jawatankuasa Induk Kesatuan Ragbi Selangor Penggal 2024-2026
Presiden: Lim Yi Wei
Timbalan Presiden: Prakash Arikrishnan
Naib Presiden : Datuk Aldillan Anuar
Naib Presiden : Mohd Hafiz Mohd Zaki
Setiausaha Kehormat : Tan Thiam Jin
Penolong Setiausaha Kehormat : Azri Mardi
Bendahari Kehormat : Mohd Emran Ibrahim
Ahli Jawatankuasa 1 : Shahizam Tukiran
Ahli Jawatankuasa 2: Mohammad Faiz Samsukhidir
Ahli Jawatankuasa 3 : Sean Pereira
Ahli Jawatankuasa 4 : Muhammad Siddiq Amir Jalil