Orang ramai hadiir untuk mencari peluang pekerjaan sempena Karnival Jelajah Jobcare Selangor di Dewan Hamzah, Klang pada 3 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jelajah JobCare tawar pelbagai jawatan, peluang ceburi bidang baharu

KLANG, 3 FEB: Jelajah JobCare yang dianjur sejak 2022 membantu kilang pengeluar sarung tangan terkemuka Hartalega Holdings Bhd mendapatkan tenaga kerja profesional.

Pengurus sumber manusianya Nasrun Abdul Halim berkata pihaknya telah menyertai beberapa siri jelajah dan mengambil ramai pekerja termasuk jawatan jurutera.

Pengurus Sumber Manusia Hartalega Holdings Sdn Bhd Nasrun Abdul Halim. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Hari ini juga kita tawar hampir 1,000 kekosongan dari pekerja am hingga jawatan eksekutif. Tawaran ini juga meliputi banyak jabatan.

“Kita harap usaha ini akan diteruskan pada masa depan kerana ia bukan hanya membantu orang ramai mendapatkan kerja tetapi memudahkan syarikat mendapat sumber tenaga kerja,” katanya ditemui pada siri jelajah di Klang hari ini.

Sementara itu pekerja p-panggilan, Shaiful Nurdian, 32, berkata jelajah berkenaan menjadi medan untuk dia kembali kepada sektor peruncitan yang menjadi sumber pendapatannya sebelum ini.

“Sebelum Covid-19, saya bekerja bidang runcit namun terpaksa beralih arah kerana syarikat terjejas dan mengalami masalah kewangan. Jadi saya bertukar ke industri gig.

“Bila sekarang ekonomi semakin stabil, saya mahu kembali ke bidang lama kerana itulah kemahiran saya. Jadi saya sedang mencari syarikat yang sesuai dan harap ada rezeki,” katanya.

Jelajah JobCare diwujudkan bagi membantu golongan berkemahiran rendah, sederhana dan tinggi yang hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19 memperoleh pekerjaan.

Inisiatif Kerajaan Negeri itu akan diteruskan pada Jun depan untuk edisi ketiga. Bagi edisi kedua, ia berlangsung dari Ogos melibatkan semua daerah dan berakhir di Klang hari ini.

Orang ramai hadiir untuk mencari peluang pekerjaan sempena Karnival Jelajah Jobcare Selangor di Dewan Hamzah, Klang pada 3 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :