Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau (tengah) ketika Karnival Jelajah Jobcare Selangor di Dewan Hamzah, Kawasan 1, Klang pada 3 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Jelajah JobCare: Lebih 1,200 individu dapat kerja dalam pelbagai sektor

KLANG, 3 FEB: Karnival Jelajah JobCare Selangor 2023 edisi kedua yang dianjur sejak Ogos tahun lalu membantu lebih 1,200 individu mendapat pekerjaan dalam pelbagai bidang.

Peluang ditawar menerusi lapan siri jelajah melibatkan Gombak, Hulu Selangor, Hulu Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Petaling, Kuala Selangor dan Sepang, kata ketua penyelaras Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS).

“Mereka yang mendapat kerja ini merangkumi peringkat am hingga eksekutif seperti jurutera. Jumlah bakal bertambah dengan penganjuran terakhir hari ini di Klang.

Ketua Penyelaras Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) S Vijayan bercakap kepada Media Selangor selepas Karnival Jelajah Jobcare Selangor di Dewan Hamzah, Kawasan 1, Klang pada 3 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kali ini JobCare menawarkan hampir 4,000 peluang kerja melibatkan 27 majikan. Secara keseluruhan sembilan siri jelajah ini mendapat kerjasama 189 majikan. Antaranya Hartalega, Mah Sing Healthcare, Sport Direct dan 99 Speedmart,” kata S Vijayan.

Beliau ditemui pada majlis penutup karnival di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang yang disempurnakan Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau.

Vijayan berkata jelajah edisi ketiga akan diteruskan Jun ini selepas melihat sambutan menggalakkan daripada pihak syarikat serta orang ramai.

Sementara itu Ganabatirau berkata inisiatif Kerajaan Negeri itu dapat merancakkan pasaran buruh sekali gus mampu menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

Orang ramai mencari peluang pekerjaan sempena Karnival Jelajah Jobcare Selangor di Dewan Hamzah, Kawasan 1, Klang pada 3 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Program ini turut membantu pengurangan kadar pengangguran. Pada suku tahun pertama tahun lalu, kadar pengangguran turun kepada 3.4 peratus berbanding tempoh sama sebelum itu iaitu 3.5 peratus,” katanya.

Jelajah JobCare dilancar pada 2022 bertujuan membantu golongan berkemahiran rendah, sederhana dan tinggi yang hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19 memperoleh pekerjaan.

Pellbagai peluang pekerjaan ditawarkan sempena Karnival Jelajah Jobcare Selangor di Dewan Hamzah, Kawasan 1, Klang pada 3 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :