Jawatankuasa induk Kesatuan Ragbi Selangor ketika mesyuarat Agung Tahunan di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya pada 3 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Kesatuan Ragbi Selangor tekad kembalikan kegemilangan, tumpu program akar umbi

PETALING JAYA, 3 FEB: Tumpuan Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) tahun ini terarah kepada persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Presidennya Lim Yi Wei berkata program latihan atlet bagi menghadapi temasya dwitahunan itu telah dimulakan sejak Jun tahun lalu.

“Sekarang latihan sedang berjalan dan kami difahamkan senarai panjang pasukan SUKMA 2024 akan dikemukakan nanti sekitar Jun atau Julai,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan KRS Hotel Crystal Crown Petaling Jaya, hari ini.

Yi Wei yang dipilih sebagai Presiden KRS bagi penggal 2024-2026 hari ini berkata tumpuan tahun ini juga akan turut diberikan kepada Kejohanan Liga KRS dan Kejohanan Piala Agong.

“Kita juga akan mengubah sedikit strategi berkaitan Kejohanan Piala Agong tetapi ia akan diumumkan nanti,” katanya.

Presiden Kesatuan Ragbi Selangor Lim Yi Wei bercakap ketika sidang media selepas mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Ragbi Selangor di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya pada 3 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mengulas lanjut, beliau dan barisan jawatankuasa baharu akan melipatgandakan usaha mengembalikan kegemilangan ragbi Selangor dengan memperbanyak program pembangunan dan pendedahan sukan itu di semua peringkat termasuk sekolah.

“Kita mahu jadikan Selangor sebagai ‘rumah kuasa’ ragbi Malaysia. Selain bekerjasama dengan kelab ragbi dan bersekutu, kita akan bekerjasama dengan sekolah.

“Ini supaya dapat perbanyakkan aktiviti pembinaan kapasiti dalam kalangan pelajar, guru dan jurulatih sehingga dapat mewujudkan satu saluran bakat ragbi kepada pasukan lebih senior,” katanya.

Katanya tumpuan lain termasuk aspek kebajikan atlet, sokongan dana serta memperkasa pembangunan ragbi wanita di Selangor.

Jawatankuasa Induk Kesatuan Ragbi Selangor Penggal 2024-2026

Presiden: Lim Yi Wei

Timbalan Presiden: Prakash Arikrishnan

Naib Presiden : Datuk Aldillan Anuar

Naib Presiden : Mohd Hafiz Mohd Zaki

Setiausaha Kehormat : Tan Thiam Jin

Penolong Setiausaha Kehormat : Azri Mardi

Bendahari Kehormat : Mohd Emran Ibrahim

Ahli Jawatankuasa 1 : Shahizam Tukiran

Ahli Jawatankuasa 2: Mohammad Faiz Samsukhidir

Ahli Jawatankuasa 3 : Sean Pereira

Ahli Jawatankuasa 4 : Muhammad Siddiq Amir Jalil


Pengarang :