Suasana Depot Tahanan Imigresen Sementara Bidor pada 3 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tahanan lolos makan mi goreng, mi segera sebelum diserahkan kepada polis

TAPAH, 3 FEB: Atas dasar kemanusiaan, penduduk Kampung Batu Melintang di sini memberi makan dan minum kepada dua tahanan yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor sebelum pendatang asing tanpa izin itu diserahkan kepada polis.

Pesara guru, Razali Talib, 69, berkata dua tahanan dalam lingkungan usia belasan tahun itu dikesan kariah Masjid Jamek Ar Rahmaniah Batu Melintang ketika berada di masjid berkenaan pagi tadi.

Menurutnya kerana berasa kasihan dengan keadaan mereka, dia memberi tahanan itu dua bungkus mi goreng walaupun mereka tidak memintanya.

“Bagaimanapun, seorang daripada tahanan iaitu (warga) Rohingya tidak mahu mi goreng sebaliknya dia minta mi segera, manakala (warga) Bangladesh mungkin disebabkan terlalu lapar dia habiskan satu setengah bungkus mi goreng tersebut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menceritakan detik mula mengesyaki kehadiran dua tahanan itu, Razali yang juga imam masjid berkenaan, berkata dia ternampak pendatang warga asing itu berada di dalam masjid ketika mahu mengerjakan solat subuh.

Menurutnya selesai mengerjakan solat sunat, dia bertanya dua tahanan itu tentang asal mereka, namun tidak berpuas hati dengan jawapan diberi.

Penduduk Kampung Batu Melintang Razali Talib, 69 (kiri) dan Mohd Isa Ariffin, 70 (kanan) menceritakan kejadian menemui dua pendatang tanpa izin yang lolos dari Depot Tahanan Imigresen Bidor ketika ditemui di Masjid Jamek Ar Rahmaniah Batu Melintang pada 3 Februari 2024. Foto BERNAMA

“Saya tanya asal mereka, seorang daripadanya jawab “saya Bangladesh”, tetapi saya rasa dia berbohong kerana mukanya seperti orang Rohingya (Myanmar). Saya biarkan dulu untuk teruskan dengan solat subuh dan mereka pun solat sekali,” katanya.

Razali berkata usai solat Subuh, dia terus meminta rakannya pesara polis, Mohd Isa Ariffin, 70, hubungi polis bagi memaklumkan kehadiran dua pendatang asing tanpa izin itu.

Sementara menunggu ketibaan polis, menurutnya dia meminta siak dan bilal masjid mengawal pergerakan dua tahanan itu supaya tidak lari sambil berbual dengan mereka.

“Seorang tidak boleh cakap Melayu dan seorang lagi mendakwa dari Myanmar bekerja di kawasan ini. Saya syak mereka berbohong kerana selama ini tiada orang Myanmar atau Bangladesh kerja di sini,” katanya menambah dua tahanan itu berpakaian lengkap tetapi tidak memakai kasut.

Razali berkata polis tiba di masjid itu selepas selesai tadarus al-Quran dan mengesahkan dua pendatang asing tanpa izin itu merupakan antara tahanan yang lari dari depot imigresen sebelum membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Menurutnya kampung berkenaan memang sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga lebih-lebih lagi selepas ketua kampung memaklumkan kepada penduduk terdapat insiden tahanan lari dari depot tersebut dua hari lalu.

“Sebelum ini pun polis selalu masuk kampung dan ini adalah kawasan polis pencen. Apa-apa insiden yang berlaku, mereka akan maklumkan untuk keselamatan kampung,” katanya.

Dalam kejadian Khamis malam, 131 pendatang asing tanpa izin iaitu 115 etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh, melarikan diri dari blok lelaki depot tahanan itu dan seorang daripada mereka meninggal dunia apabila terlibat dalam nahas jalan raya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh mengesahkan 10 tahanan yang melarikan diri berjaya ditahan setakat pagi ini.

– BERNAMA


Pengarang :