AGENDANASIONAL

Bomba: Saliran air kolam bocor dipercayai punca tanah runtuh

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Bahagian penjuru belakang sebuah banglo tiga tingkat di Jalan Taman Pantai, Taman Bukit Pantai, Bangsar di sini terjejas akibat kejadian tanah runtuh pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata 17 anggota bomba dari balai bomba Pantai dan Seputeh bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.45 pagi.

Menurutnya Komander Operasi Kanan JBPM Mustafa Kamal Mohd Arih berkata berdasarkan pemeriksaan awal, kejadian itu mungkin berpunca daripada kebocoran saliran air kolam renang unit rumah atas bukit di belakang banglo berkenaan.

“Kerja-kerja mengosongkan sisa air kolam renang dilakukan oleh pasukan bomba bagi mengelak tanah di kawasan berkenaan semakin lembab dan berpotensi berlakunya pergerakan atau hakisan tanah,” katanya dan menambah tiada mangsa yang terperangkap serta tiada struktur rumah mengalami kerosakan.

“Kes diserahkan pada Unit Cerun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia dan kontraktor rumah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

— BERNAMA

Tanah runtuh menjejaskan bahagian belakang sebuah banglo tiga tingkat di Jalan Taman Pantai, Taman Bukit Pantai, Bangsar pada 3 Februari 2024. Foto BERNAMA

Pengarang :