EXCO Pertanian Ir Izham Hashim (tiga dari kiri) bersama rombongan melawat Amani Vanilla Temerloh (AVT), di Temerloh, Pahang pada 31 Januari 2024. Foto Instagram vanilla_temerloh
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selangor bakal tanam vanila, hasil pulangan lumayan, jamin keuntungan

SHAH ALAM, 4 FEB: Tanaman vanila akan diusahakan di negeri ini berikutan hasil produknya memberi pulangan lumayan sekali gus menjamin keuntungan kepada sektor ekonomi.

EXCO pertanian berkata harga hasil pokok mencecah lebih RM3,000 sekilogram, justeru perlu dimanfaatkan memandangkan tanah di negeri ini rendah dan sesuai untuk tanaman terbabit.

“Vanila boleh diproses dalam bentuk pes, serbuk atau cecair dan banyak digunakan untuk bahan asas produk hiliran seperti aiskrim, kek termasuk kosmetik. Harga sekilo serbuk vanila mencecah hampir RM3,000 dan jenis cecair lebih tinggi nilainya.

“Rancangan ini akan dijayakan menerusi pertanian bernilai tinggi bawah Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA). Kita akan jalankan kerjasama dengan Amani Vanilla Temerloh (AVT) untuk projek rintis,” kata Ir Izham Hashim ketika dihubungi.

Minggu lalu, Izham bersama wakil beberapa agensi negeri mengadakan lawatan ke AVT di Temerloh bagi melihat pengendalian ladang vanila berkenaan.

Pada Julai 2022, beliau memaklumkan pelaksanaan PeTA bagi menjamin bekalan makanan rakyat serta meningkatkan hasil pengeluaran tani dengan memenuhi Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.

Jelasnya PeTA menekankan lima asas meliputi pertanian bernilai tinggi, pertanian moden, rantaian bekalan makanan lengkap, pembangunan agropreneur dan pelancongan agro.


Pengarang :