Dua orang etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap berjaya ditahan sepasukan anggota Polis D7 di Sungai Rembai Relau pada 20 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penduduk buat rondaan bimbang tahanan lolos beri ancaman

TAPAH, 4 FEB: Penduduk Kampung Poh, di sini mengambil inisiatif melakukan rondaan bagi menjaga keselamatan kampung berkenaan susulan kejadian 131 tahanan pendatang asing tanpa izin meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Khamis lepas.

Seorang penduduk, Norfaizal Marzuki, 36, berkata selepas laporan mengenai insiden itu tersebar, dia dan rakan-rakan segera melakukan rondaan kerana bimbang kemungkinan tahanan tersebut menyembunyikan diri di kawasan kampung.

“Kami risau tahanan itu akan mengancam keselamatan penduduk di sini, lebih-lebih lagi di kampung ini ramai orang tua yang tinggal bersendirian dan kanak-kanak.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kami sebagai anak muda dan golongan belia di kampung ini memastikan keselamatan penduduk sentiasa terpelihara. Ramai dalam kalangan kami yang bekerja sendiri, jadi boleh bergilir-gilir melakukan rondaan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Mohamad Ikhsan Shahrol, 31, berkata rondaan yang dijalankan secara berkumpulan itu bermula sejak hari pertama kejadian pada Khamis lepas, dari pukul 10 pagi hingga lewat petang dan bersambung 9 malam hingga awal pagi.

“Kami buat rondaan ini atas rasa tanggungjawab selain bagi membantu pihak berkuasa dan memastikan keselamatan penduduk terjamin.

“Hari ini kami teruskan rondaan sebab bimbang sekiranya tahanan yang masih bebas itu bertindak di luar kawalan memandangkan sudah empat hari mereka berada di hutan, pastinya mereka kelaparan,” katanya.

Menurutnya ada dalam kalangan warga emas di Kampung Poh juga telah dipindahkan ke rumah anak masing-masing kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Ahmad Sharizan Mohd Azmi, 41, pula berkata penduduk kampung khususnya anak muda sentiasa bersedia membantu pihak berkuasa sekiranya diperlukan dalam usaha mencari tahanan yang masih lolos serta berharap pendatang tanpa izin itu diberkas segera.

Setakat pagi tadi, sebanyak 41 tahanan yang lolos berjaya diberkas, manakala 89 lagi dipercayai masih bebas.

Pada Khamis lepas, media melaporkan seramai 131 pendatang tanpa izin melarikan diri dari blok lelaki depot itu dengan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya.

-BERNAMA


Pengarang :