Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim (tengah) dan Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning Preakas Sampunathan merasmikan program Hari Tanpa Kenderaan MBSJ dan Taman Komuniti di Taman Komuniti Putra Heights, Subang Jaya pada 4 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Taman Komuniti Putra Heights lengkap kemudahan, manfaat masyarakat

SUBANG JAYA, 4 FEB: Taman Komuniti Putra Heights seluas 3.07 hektar dirasmikan hari selepas siap dibina Disember lalu dengan kos RM3.2 juta.

Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata projek Sime Darby Property itu mampu memanfaatkan masyarakat di Putra Heights dan pengunjung luar.

“Fasiliti lengkap yang terdapat di taman ini juga seiring dengan visi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk menjadi sebuah bandar raya mampan dan bestari,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan taman rekreasi berkenaan bersekali dengan Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya edisi pertama 2024 di sini hari ini.

Kanak-kanak gembira bermain belon sabun ketika program Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya di Taman Komuniti Putra Heights, Subang Jaya pada 4 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Taman tersebut dilengkapi kemudahan seperti papan tanda, permainan kanak-kanak, alatan senaman mesra warga emas dan laluan pejalan kaki sepanjang 1,042 meter di lingkaran dalam dan luar.

Selain itu, terdapat tempat rehat, meja dan kerusi, dataran, arca dan padang berumput untuk aktiviti bermain layang-layang.

Ia juga dijangka menjadi salah satu taman komuniti tumpuan di kawasan Putra Heights selepas Taman Rekreasi Putra Height (linear park) dan Taman Kejiranan Putra Bestari 2, Putra Heights (taman 10,000 langkah).

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning S Preakas menyambut baik inisiatif Sime Darby dan MBSJ mewujudkan taman berkenaan.

“Terima kasih kerana ia secara tidak langsung memberi kemudahan dan manfaat kepada penduduk di sini untuk beriadah.

“Saya juga ingin mencadangkan MBSJ menjadikan Putra Heights sebagai modal perbandaran lestari dan mampan sesuai dengan suasananya yang bersih, strategik dan teratur,” katanya.


Pengarang :