KLANG, 5 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor mahu pentadbiran Klang menyediakan perkhidmatan terbaik demi memastikan warganya hidup harmoni dan persekitaran selamat dihuni.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pelbagai usaha perlu dipertingkat untuk mencapai hasrat tersebut termasuk pelaksanaan segera langkah jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Apalah guna kita berbangga dengan pencapaian status bandar raya sekiranya masalah keperluan asas rakyat tidak dapat diurus dengan baik.
“Beta mahu pengiktirafan status bandar raya ini menjadi dorongan kepada pihak berkuasa menyediakan perkhidmatan lebih efisien, kemudahan prasarana dan utiliti awam lebih baik serta perbandaran cekap, berkualiti dan bertaraf antarabangsa demi kesejahteraan rakyat di Klang,” titah Baginda.
Sultan Selangor turut menitahkan datuk bandar dan kepimpinan ahli majlis mencari penyelesaian terhadap masalah banjir yang kerap berlaku terutama ketika musim tengkujuh.
Titah Baginda, segala pelan perlu dilaksana secara rapi dan teratur serta mengambil kira kedudukan bandarnya di muara Sungai Klang selain menerima pendapat pakar bagi memastikan rancangan berkesan.
“Seperti yang kita semua sedia maklum, masalah banjir sering berlaku di Klang. Ini disebabkan Klang terletak di sepanjang laluan Sungai Klang menuju ke laut.
“Sekiranya berlaku air pasang besar dikuti hujan lebat, banjir besar akan melanda sebahagian daerah dan menjejaskan kehidupan penduduk.
“Beta mengharapkan datuk bandar dan ahli Majlis Bandar Raya Diraja Klang mengambil serius masalah ini dengan memikirkan langkah mengatasinya,” titah Baginda.