Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bertitah sempena Istiadat Pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 5 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan saran ahli majlis MBDK dianggotai golongan profesional

KLANG, 5 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyarankan ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) turut dianggotai golongan profesional, tidak hanya dipelopori ahli politik semata.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sekurang-kurangnya 50 peratus kuota keseluruhan ahli majlis diisi golongan profesional pelbagai bidang bagi memastikan pembangunan mampan dapat dilaksana.

“Ahli majlis juga perlu menggambarkan komposisi dan populasi kaum yang menetap di Klang agar semua kaum diwakili dengan jumlah berpadanan.

“Beta mengingatkan datuk bandar, ahli majlis serta kakitangan MBDK agar sentiasa memberi perkhidmatan penuh dedikasi dan berintegriti. Jauhi segala perbuatan rasuah dan salah guna kuasa untuk kepentingan diri sendiri atau pihak tertentu,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan datuk bandar dan ahli majlis supaya sering turun padang mendekatkan diri dan melihat masalah rakyat seterusnya memberikan perkhidmatan terbaik.

“Amalkan pendekatan berbincang dan bertindak segera tanpa perlu menunggu aduan,” titah Baginda.

Terdahulu, Sultan Selangor berkenan menyempurnakan istiadat pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang berlangsung di Hotel Wyndham, dekat sini.

Pada Julai tahun lalu, kerajaan persekutuan mengumumkan Majlis Perbandaran Klang dinaik taraf kepada bandar raya, sekali gus menjadi pihak berkuasa tempatan ke-20 memperoleh status berkenaan.

Berikutan itu, kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri menyalur peruntukan RM34.6 juta untuk menambah baik kemudahan awam di Klang antaranya pasar, tandas awam dan laluan pejalan kaki.


Pengarang :