Atlet basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang bersaing pada acara Men Elite Keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai pada 18 Jun 2023. Foto Bernama
AGENDASUKANKINI

Azizulhasni ambil risiko sertai kejohanan basikal antarabangsa demi negara

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang sekali lagi melakukan ‘kerja gila’ apabila mengambil risiko menyertai Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) walaupun disahkan mengalami Perikarditis atau radang jantung dua minggu sebelum kejohanan.

Menurut juara dunia keirin 2017 itu, keputusan untuk berlumba di Adelaide, Australia adalah tindakan tidak masuk akal kerana pihak hospital sudah menasihatkan beliau agar berehat selama empat hingga enam minggu sama ada menjalani latihan mahupun menyertai kejohanan kompetitif.

“Saya runsing. Tanggungjawab saya untuk negara amat besar. Kalau tak berlatih nanti prestasi menurun… Kalau tak bertanding pula, takut merencatkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik. Parah. Berhari-hari saya tidur tak lena, mandi tak basah. Nasib baik ada isteri tersayang dan anak-anak yang menjadi penenang ketika resah.

“Saya buat kerja gila. Saya ambil risiko sekali lagi demi negara tercinta. John, I still want to go to Adelaide and we will see how it goes there’ saya telefon John Beasley di Malaysia.

“Percaturan saya, kalau tak menang pun, sekurang-kurangnya dapat tempat tercorot pun masih memberikan sedikit mata bagi mengimbangi kutipan mata saya. Saya janji pada isteri, kalau saya terasa sakit melampau dan berasa keterlaluan saya terus berhenti, tidak kisahlah walaupun ketika perlumbaan,” kata Mohd Azizulhasni yang berkongsi mengenai masalah kesihatan dihadapinya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pelumba yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman itu mengakui kemenangan pingat emas acara keirin dan mara ke separuh akhir acara pecut adalah di luar jangka kerana sedar beliau hadir ke kejohanan Piala Negara-Negara UCI berkenaan bukan dengan prestasi terbaik.

“Perlumbaan akhir keirin tempoh hari tu memang Unbelievable! Kalau tanya saya sekarang, saya pun tak tahu dan tak percaya macam mana semua tu boleh berlaku.

“Bagi saya ia adalah berkat doa ibu saya di kampung, juga berkat doa isteri dan anak-anak di rumah serta ahli keluarga lain. Oh ya, mungkin juga rezeki baby baharu saya dan isteri, Amna Aseeya,” katanya.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu membuktikan reputasinya selaku antara pelumba terbaik dunia dengan memenangi emas acara keirin, mengatasi dua pelumba Jepun Shinji Nakano dan Kaiya Ota yang masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.

Bagaimanapun semalam, Mohd Azizulhasni terpaksa menarik diri acara pecut akibat simptom Perikarditis itu.

Beliau terpaksa meninggalkan saingan penentuan pingat gangsa berdepan pelumba tuan rumah yang juga juara dunia 2018 Matthew Glaetzer, setelah mengalami simptom selepas pusingan separuh akhir.

Berkongsi kisah bermulanya simptom Perikarditis, Mohd Azizulhasni berkata beliau mengalami sesak nafas dan sakit dada ketika menyertai pertandingan pemanas badan di Australia sebelum disahkan oleh doktor mengenai penyakit dihadapinya itu.

“Perikarditis adalah kondisi selaput luar jantung (pembungkus jantung – pericardium) mengalami keradangan. Saya pun tanyalah, pada pendapat doktor apa yang menyebabkan keadaan ini boleh berlaku. Ironinya selepas pembedahan jantung dahulu, proses pemulihan berjalan dengan lancar dan saya tidak mempunyai sebarang masalah besar dan serius pun.

“Jawab doktor, ia mungkin berlaku disebabkan oleh kesan pascapembedahan jantung dahulu. Mungkin ada kecederaan di bahagian dada atau kesan kanser pada organ lain yang memberi kesan kepada jantung ataupun mungkin kerana jangkitan bakteria atau virus. Terus saya lebih setuju dengan pendapat terakhir ini. Tapi saya masih harus menjalani pemeriksaan dan ujian lanjutan,” katanya.

Pelumba berusia 36 tahun itu memaklumkan beliau terkena jangkitan virus ketika berada di Malaysia pada awal Disember lalu.

– BERNAMA


Pengarang :